Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Ribut Kuat Jejas 11 Rumah Di Pontian, 33 Mangsa Dipindahkan ke PPS

By 27 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlin Basir (Pontian)

PONTIAN, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 33 mangsa daripada sembilan keluarga masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Raja di sini susulan ribut kencang yang melanda Kampung Pengkalan Raja, Selasa lepas.

Keadaan sebuah rumah di Kampung Pengkalan Raja yang mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung akibat ribut kencang yang melanda

Penghulu Mukim Jeram Batu/Pengkalan Raja, Mohd Ikhtiar Ruddin berkata kejadian ribut yang melanda kawasan Batu 30, Pengkalan Raja itu melibatkan lebih 11 buah rumah dan sembilan keluarga.

“Saya telah mengarahkan kesemua sembilan keluarga terlibat berpindah segera ke PPS Sekolah Kebangsaan Pengkalan Raja bagi tujuan keselamatan.

“Hasil lawatan mendapati bahagian bumbung serta struktur asas rumah seperti gelegar dan kuda-kuda mengalami kerosakan yang agak teruk,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, perbincangan bersama agensi serta jabatan kerajaan telah diadakan bagi menyelaras penyaluran bantuan dan mempercepatkan kerja-kerja baik pulih supaya mangsa dapat kembali ke kediaman masing-masing dalam kadar segera.

Sementara itu, seorang mangsa, Amiruddin Alias, 48, berkata ketika kejadian kira-kira jam 6.30 petang, beliau bersama ahli keluarga berada di dalam rumah sebelum terdengar bunyi dentuman kuat selama hampir satu minit.

“Tidak lama kemudian, bumbung mula bocor dan air masuk dengan banyak akibat angin ribut yang kuat,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda