
Laporan/foto: Syahrulizan Madian (Daro)
DARO, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Projek pembinaan Klinik Kesihatan Daro (Jenis 4 Fasa 2) bernilai RM50 juta diumumkan bagi menggantikan klinik lama yang musnah dalam kebakaran pada 2015.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Dr. Syafiee Ahmad projek tersebut dijangka siap dalam tempoh 30 bulan akan datang.

Syafiee Ahmad menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Projek Klinik Kesihatan Daro.
“Projek ini merupakan projek dekat di hati rakyat dan telah sekian lama dinantikan penduduk dengan penuh kesabaran.
“Projek ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kemudahan kesihatan yang lebih selesa dan lengkap disediakan kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar,” katanya ketika berucap pada majlis simbolik perasmian projek tersebut, di sini hari ini.
Pembinaan klinik baharu itu katanya bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk daerah Daro, malah turut memanfaatkan komuniti di kawasan sekitar termasuk Pulau Bruit dan Matu.
Beliau dalam pada itu turut meminta masyarakat setempat memberikan kerjasama sepanjang tempoh pembinaan klinik kesihatan tersebut yang dijangka bakal menjadi pemangkin kepada peningkatan mutu perkhidmatan kesihatan dan kesejahteraan penduduk di daerah Daro serta kawasan sekitarnya.
-RJ-





