
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
PANTU, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Setiap calon Ketua Kaum (KK) termasuk Tuai Rumah diwajibkan melalui tapisan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum diluluskan pelantikannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Datuk Mong Dagang berkata langkah itu bagi memastikan pemimpin komuniti bebas daripada rekod jenayah serta salah laku rasuah demi memelihara integriti kepimpinan.
“Jika bersih, barulah calon diluluskan oleh pihak berkuasa negeri supaya penduduk memperoleh pemimpin yang boleh dipercayai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) DUN Bukit Begunan di sini semalam.

Mong Dagang menekankan kepentingan integriti serta tapisan keselamatan PDRM dan SPRM bagi setiap calon Ketua Kaum pada Majlis Penyerahan Watikah di Pantu.
Beliau berkata proses semakan bermula pada fasa awal pencalonan bagi menyemak latar belakang keselamatan serta isu integriti.
“Pemilihan calon sebenarnya dilakukan oleh penduduk rumah panjang sendiri dan tiada campur tangan ADUN dalam menentukan calon,” katanya sambil menyeru penduduk agar memilih calon yang benar-benar layak bagi meneraju pembangunan komuniti dengan lebih baik.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM50,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Selanjan Jalong.
Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 turut diberikan kepada JKKK berkenaan serta RM4,000 kepada biro wanita rumah panjang tersebut.
-RJ-





