
Laporan/foto: Kesai Andi (Tatau)
TATAU, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Pusat Kraftangan Tatau, di sini yang beroperasi sejak Januari 2024 menjadi platform utama memartabatkan produk warisan penduduk tempatan serta memperkasakan ekonomi komuniti kraf di daerah ini.
Penubuhan pusat itu dicetuskan Menteri di Jabatan Premier merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai bagi memberi peluang kepada penduduk tempatan memasarkan produk kraf mereka.
Jurujual Pusat Kraftangan Tatau Manyi Chendang, 43, berkata pusat berkenaan menghimpunkan lebih 50 jenis produk yang dihasilkan penduduk sekitar Tatau.

Keindahan warisan Borneo terserlah dalam setiap helai pua kumbu Sarawak, menampilkan motif etnik tradisional yang memukau dan sarat nilai budaya.
“Produk utama ialah Gagong daripada kulit kayu, manakala kedapik dan tanggui menjadi produk paling laris kerana kualitinya yang tinggi dan unik,” katanya ketika ditemui di pusat itu, di sini hari ini.
Sambutan pengunjung katanya amat menggalakkan termasuk pelanggan dari luar daerah dan Sabah yang mendapatkan kraftangan tempatan sebagai cenderamata atau kegunaan harian.
Produk-produk di situ juga menurutnya turut dipamerkan di gerai dalam pelbagai program dan acara sekitar Tatau bagi memperluas pasaran.
Dibuka setiap Isnin hingga Jumaat antara 8 pagi hingga 5 petang, Pusat Kraftangan Tatau menjalankan urus niaga secara tunai atau pembayaran kod QR.
-RJ-





