
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SHAH ALAM, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) melancarkan aplikasi ‘Wakaf Selangor’, sebuah platform digital inovatif bagi memudah cara urusan wakaf serta memperluas penyertaan masyarakat secara lebih sistematik, telus dan mesra pengguna.
PWS dalam satu kenyataan memaklumkan aplikasi tersebut dilancarkan bagi membudayakan masyarakat untuk melazimi ibadah wakaf pada bila-bila masa selain membolehkan pengguna menyemak sejarah butiran wakaf terdahulu yang pernah dilaksanakan oleh mereka sebelum ini.

Para penyumbang bergambar bersama selepas penyerahan cek cura sempena Bulan Wakaf Peringkat Negeri Selangor 2026 semalam.
“Pengguna kini boleh merasai pengalaman peribadi yang lebih sempurna dengan mengakses terus aktiviti PWS bagi mengetahui secara terperinci agihan-agihan wakaf yang telah disalurkan kepada golongan sasar,” menurut kenyataan tersebut.
Pada majlis sama, PWS menerima simbolik penyerahan cek cura Wakaf Tunai daripada 12 syarikat korporat bernilai RM400,000 sebagai tanda sokongan strategik dalam memperkukuh ekosistem wakaf di negeri ini.
Worldwide Holdings Bhd. mendahului senarai pewakaf korporat dengan sumbangan RM150,000, diikuti Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (RM100,000) serta KDEB Waste Management yang menyumbangkan sebanyak RM50,000.
Turut menyerahkan sumbangan ialah Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Aiman Platinum Sdn. Bhd., Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, PKNS Real Estate dan beberapa agensi lain yang mencerminkan keyakinan industri terhadap integriti pengurusan PWS.
-RI





