Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Buang Puntung Rokok di Tempat Awam, Tiga Individu Diperintah Jalani PKM

By 27 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Mahkamah Sesyen di sini semalam telah mengarahkan tiga individu di Perlis menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama lapan jam dalam tempoh enam bulan atas kesalahan membuang sampah kecil.

Ketiga-tiga Orang Kena Saman (OKS) tersebut yang merupakan warganegara Malaysia didapati membuang puntung rokok di tempat awam.

Seorang pengunjung bazar ramadan melihat poster pemberitahuan yang di pasang oleh pihak SWCorp mengenai amaran pembuangan sampah di tempat awam

Mereka dituduh di bawah Seksyen 77A (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang memperuntukkan hukuman terhadap kesalahan membuang sisa pepejal di kawasan awam yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan awam.

Mahkamah turut menjatuhkan denda RM1,000 terhadap setiap OKS atau penjara 30 hari jika gagal membayar denda.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed berkata setakat kelmarin, Perlis telah merekodkan 35 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) melibatkan 34 kes warganegara tempatan dan satu kes warganegara asing.

“Daripada jumlah itu, tiga kes dijadualkan untuk sebutan pada 26 Feb manakala dua lagi pada 12 Mac depan.,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Kangar, di sini.

Secara keseluruhannya, beliau berkata sebanyak 941 NPK telah dikeluarkan di tujuh negeri yang melaksanakan Akta 672 membabitkan 741 warganegara tempatan dan 200 warga asing setakat semalam.

Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan kebersihan awam dan akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara konsisten.

-AA-

Tinggalkan komen anda