
Laporan/foto: Mohd Nazeeb (Kuching)
KUCHING, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Bulan Ramadan membawa rezeki berganda buat peniaga Rempeyek Jawa, Mazlan Borhan apabila permintaan terhadap makanan tradisi itu meningkat ketara berbanding bulan-bulan lain.

Aroma wangi Rempeyek Jawa asli yang sedang digoreng panas
Mazlan, 53, yang menjalankan perniagaan dari rumah di Kampung Kolong 2 berkata, beliau dan isterinya telah mengusahakan jualan rempeyek sejak beberapa tahun lalu bagi menambah pendapatan keluarga.
“Permintaan memang tinggi setiap kali Ramadan. Setakat ini, sebanyak 80 kilogram rempeyek sudah siap digoreng dan dibungkus untuk memenuhi tempahan pelanggan,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Menurutnya, penggunaan nama Rempeyek Jawa adalah bersempena warisan makanan tradisi masyarakat Jawa, selain isterinya juga berketurunan Jawa dan penduduk kampung berkenaan majoritinya terdiri daripada masyarakat tersebut.
Produk itu ditawarkan dalam beberapa variasi perisa seperti kacang dal, kacang tanah dan kacang hijau, namun rempeyek ikan bilis kekal menjadi pilihan utama pelanggan.
Rempeyek berkenaan dijual pada harga RM85 sekilogram dan dibungkus dalam tin besar bagi memudahkan pelanggan membuat tempahan dalam kuantiti yang banyak sepanjang bulan puasa.
-RJ-





