
Laporan/foto: Mohd Ridhuan (Seberang Perai Utara)
PERMATANG SUNGAI DUA, 5 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan egeri Pulau Pinang terus komited memperkasa institusi masjid sebagai pusat pembangunan ummah menerusi Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Membina Baharu Dewan Serbaguna Masjid Jamek Tuan Samad yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Dato’ Dr Mohamad Abdul Hamid, di sini hari ini.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Dato’ Dr Mohamad Abdul Hamid menyempurnakan sesi menandatangani plak perasmian
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa syukur atas kejayaan menyiapkan projek pembinaan dewan serbaguna tersebut yang disifatkan sebagai satu mercu tanda kemajuan kariah serta simbol penyatuan dan kebersamaan masyarakat Islam di negeri ini.
Menurut Mohamad, pembinaan dewan berkenaan bukan sekadar sebuah projek fizikal, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam memartabatkan agenda pembangunan agama Islam.
“Dewan yang tersergam indah ini bukan sekadar binaan konkrit dan batu-bata, tetapi merupakan manifestasi kepada keprihatinan kerajaan dalam memastikan penyediaan prasarana yang selesa dan moden demi pembentukan masyarakat yang berilmu serta progresif,” katanya.

Sesi menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara pihak kontraktor, pihak ICU dan TKM 1 Pulau Pinang
Projek pembinaan Dewan Serbaguna Masjid Jamek Tuan Samad ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 juta dan telah bermula pada 25 Ogos 2025 sebelum berjaya disiapkan mengikut jadual hari ini.
Kejayaan pelaksanaan projek ini adalah hasil kerjasama antara Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pulau Pinang, Unit Pembangunan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) serta ICU Jabatan Perdana Menteri selain komitmen tinggi pihak kontraktor SNA Maju Venture.
Mohamad turut menyeru seluruh kariah dan jawatankuasa masjid agar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan dewan tersebut sebagai pusat aktiviti yang inklusif, merangkumi ruang ilmu, kebajikan dan penyatuan masyarakat.
-AA-





