
Laporan/foto: U. Prakash (Timur Laut)
BUKIT GELUGOR, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Sambutan Majlis Rumah Terbuka Sempena Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Parlimen Bukit Gelugor menjadi platform dalam memperkukuh perpaduan, menyantuni golongan memerlukan serta mengeratkan hubungan antara rakyat dan pemimpin setempat.
Majlis yang berlangsung meriah itu menghimpunkan wakil rakyat, penduduk setempat, pemimpin komuniti, wakil agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam suasana penuh harmoni, kelmarin.

Ramkarpal turut membuat edaran baucar kepada penerima
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata penganjuran rumah terbuka merupakan medan memperkukuh jalinan antara kaum serta mendengar sendiri suara rakyat.
“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat berpuasa kepada umat Islam serta Gong Xi Fa Cai kepada masyarakat Tionghua, sebagai lambang keharmonian, saling menghormati dan semangat kebersamaan yang menjadi kekuatan negara berbilang kaum ini,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan kurang berkemampuan pihak penganjur turut mengedarkan baucar kepada 100 penerima daripada kumpulan B40 di kawasan tersebut sebagai usaha meringankan beban perbelanjaan, khususnya dalam suasana kos sara hidup yang semakin mencabar.
-AA-






