
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Muhammad Abdul Hadi (Kuala Kangsar)
KUALA KANGSAR, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Perusahaan tanaman buah melon menerusi Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) di Seberang Manong, di sini disasar mampu melahirkan jenama tersendiri buah-buahan tersebut.

Mohd Hussin (tengah) dan Saharuddin (kanan) serta salah seorang jawatankuasa antara yang bertanggungjawab mengusahakan tanaman melon bagi Projek SejaTi MADANI ini
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Seberang Manong Mohd Hussin Jap berkata projek tanaman melon itu bukanlah yang pertama di Manong, namun pihaknya berharap ia mampu mewujudkan jenama melon tempatan yang dikenali ramai.
“Kita memilih dua jenis melon iaitu Rock Melon dan Golden Melon untuk diusahakan di atas tanah berkeluasan lebih lima ekar.
“Kedua-dua jenis melon ini mengambil masa antara dua hingga tiga bulan untuk dituai dan insya-Allah, tuaian pertama projek ini dijangka dapat dilakukan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini semalam.
Tambah Mohd Hussin, projek tersebut dilihat mampu merancakkan lagi ekonomi kampung dengan penglibatan JPKK serta penduduk setempat.
“Walaupun penglibatan mereka adalah secara sukarela melalui aktiviti gotong-royong, semua memberikan kerjasama yang amat baik.

Pokok melon agak sensitif dan perlu penjagaan yang rapi
“Insya-Allah, hasil perusahaan ini nanti akan diagihkan kepada mereka yang terlibat selain dijadikan pusingan modal untuk meneruskan projek ini,” katanya.
Sementara itu, bendahari projek, Saharuddin Otoh berkata penjagaan tanaman melon memerlukan bancuhan baja yang disiram sebanyak lima kali sehari dari pagi hingga petang.
“Tanaman ini cepat mengeluarkan hasil namun hanya dituai sekali sahaja. Kami memastikan setiap pokok menghasilkan sebiji buah bagi menjaga kualiti.
“Kita bersyukur kerana mempunyai mentor yang sudi berkongsi ilmu berkaitan penanaman ini dan berharap projek SejaTi MADANI ini dapat terus membantu komuniti setempat,” ujarnya.
-AA-





