
Laporan/foto: Salawati Mat Shariff (Daerah Timur Laut)
GEORGE TOWN, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Cuti hujung minggu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh 23 peserta dengan menghadiri kelas AI Kandungan Visual dan Media Sosial-Fokus Canva yang berlangsung di Masjid Hashim Yahya, George Town anjuran Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), di sini kelmarin.

Nur Shidah turut berkongsi maklumat berkaitan peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kepada para peserta
Program ini memberi pendedahan praktikal kepada peserta mengenai penggunaan aplikasi Canva berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang memudahkan reka bentuk, mempercepat aliran kerja serta menghasilkan visual yang lebih profesional dan menyokong keperluan pemasaran digital masa kini.
Sepanjang sesi pembelajaran peserta menunjukkan minat yang tinggi apabila diperkenalkan kepada pelbagai ciri kreatif Canva yang mesra pengguna, sekali gus membuktikan teknologi AI bukan ancaman kepada industri kreatif sebaliknya bertindak sebagai pemangkin yang memperkasakan kreativiti manusia.
Seorang peserta, Nurul Husna Husaini, 32, berkata kursus pendek itu memberi nilai tambah yang besar walaupun dijalankan dalam tempoh singkat.
“Saya kini lebih memahami fungsi Canva dan bercadang menggunakannya untuk mereka bentuk poster bagi mempromosikan perniagaan makanan sejuk beku keluarga,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Antara peserta yang hadir mengikuti kelas AI Kandungan Visual dan Media Sosial-Fokus Canva
Selaku tenaga pengajar bagi program ini, Nur Shidah Ahmad Sharawardi mengingatkan peserta agar sentiasa mengamalkan etika dan bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial, khususnya terhadap kandungan kreatif yang diterbitkan kepada umum.
Nur Shidah turut menyentuh peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menguatkuasakan undang-undang digital di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), sambil menegaskan bahawa kreativiti tidak disekat selagi tiada penyalahgunaan maklumat atau pelanggaran undang-undang.
-AA-





