Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Tingkat Integriti Kewangan, PPDK Jempol Jadi Institusi Contoh Bimbing Anak Istimewa

By 13 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairul Othman (Negeri Sembilan)/Pejabat Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan 

JEMPOL, 13 Feb (MalaysiAktif) – Pengurusan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) digesa agar sentiasa mengamalkan tadbir urus kewangan yang telus dan berintegriti bagi memastikan kebajikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) terus terbela.

(Dari kiri) Mohd Yusry, Intan Norlaila dan Noorzunita.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan Dato’ Noorzunita Begum Mohd Ibrahim menegaskan setiap dana yang diterima perlu diuruskan dengan penuh amanah agar manfaatnya dapat dirasai secara optimum oleh anak-anak istimewa tersebut.

Menurutnya, pengurusan kewangan yang baik merupakan cerminan kepada akauntabiliti sesebuah organisasi dalam mengendalikan dana awam.

“Penganjuran Seminar Pengukuhan Tadbir Urus dan Kewangan PPDK Daerah Jempol 2026 amat signifikan dalam memastikan tadbir urus dilaksanakan dengan penuh integriti demi kepentingan anak-anak OKU.

“Pengurusan yang baik bukan sekadar melibatkan angka, sebaliknya mencerminkan tahap kebertanggungjawaban kita dalam mengurus sumbangan yang diterima,” katanya pada seminar berkenaan, di sini kelmarin.

Sesi bergambar bersama peserta Seminar Pengukuhan Tadbir Urus dan Kewangan PPDK Daerah Jempol.

Beliau berkata PPDK mempunyai peranan besar sebagai institusi yang membimbing golongan istimewa untuk berdikari dan membina keyakinan diri serta berharap seminar tersebut menjadi pemangkin kepada pengurusan yang lebih sistematik.

“Setiap peruntukan perlu diurus secara teratur agar dapat dimanfaatkan secara optimum. Saya berharap seminar ini menjadi titik tolak kepada pengurusan yang lebih cemerlang dan berdaya maju,” katanya.

Noorzunita turut menyeru penglibatan aktif sektor swasta dan komuniti setempat untuk terus berganding bahu bersama agensi kerajaan dalam menyokong kebajikan golongan OKU serta kesejahteraan keluarga mereka.

-RI

Tinggalkan komen anda