
Laporan/foto: Anuar Che Amat
ARAU, 13 Feb (MalaysiaAktif) – Penganjuran Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) World Kite Festival 2026 @ Perlis berjaya mencatat kehadiran lebih 80,000 pengunjung sepanjang dua hari festival tersebut berlangsung di PTSS, di sini bermula Selasa hingga semalam.

Para tetamu bergambar kenangan dengan para pelayang dari 47 negara
Pengarah PTSS, Khairul Anuar Ishak berkata festival berkenaan menghimpunkan penyertaan berskala antarabangsa melibatkan peserta dari 47 negara merangkumi enam benua sekali gus membuktikan reputasi serta daya tarikan global festival itu di peringkat dunia.
“Festival ini bukan sekadar menampilkan pertunjukan layang-layang, malah turut dimeriahkan dengan lebih 30 acara sampingan termasuk larian santai (fun run), pameran agensi kerajaan serta gerai jualan yang menambah kemeriahan suasana sepanjang program berlangsung,” katanya ketika berucap.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Politeknik Malaysia, Azirin Abdul Aziz berkata festival berkenaan berteraskan konsep Warisan Tradisi, Gaya Hidup MADANI dengan menjadikan kampus PTSS sebagai destinasi interaktif yang menggabungkan elemen pendidikan, seni budaya, pelancongan serta hiburan sihat.
Tambahnya lagi, festival ini merupakan sebahagian daripada sirkit layang-layang antarabangsa yang melibatkan beberapa lokasi utama termasuk Pasir Gudang, PTSS Perlis serta Satun.
“Penyertaan peserta dari pelbagai negara menjadikan festival ini sebagai platform pertukaran budaya dan jaringan global, sekali gus memperkukuh imej Malaysia sebagai hab pelancongan budaya kreatif,” katanya.
Beliau yang mewakili Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr. Shamsuri Abdullah hadir merasmikan festival berkenaan.
-AA-





