Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Air Terjun Wong Kemantan Lidi Tarik Pencinta Alam

By 13 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aileen Madeh (Sarawak)

LUBOK ANTU, 13 Feb (MalaysiaAktif) – Terletak di Kumpang Langgir di pedalaman Lubok Antu, Air Terjun Wong Kemantan Lidi muncul sebagai antara khazanah semula jadi yang kian mendapat perhatian pencinta alam, meskipun masih belum didokumentasikan secara meluas.

Istilah ‘Wong’ dalam Bahasa Iban merujuk kepada air terjun, jeram atau riak air, manakala ‘Kemantan Lidi’ diambil daripada nama pokok kemantan yang menghasilkan buah seakan mangga tetapi bertekstur lebih lembut.

Menurut Ketua Kampung Kumpang Langgir, Julin Entalang, 50, sejarah lokasi berkenaan tidak direkodkan secara rasmi sebaliknya diwarisi melalui tradisi lisan masyarakat setempat.

“Ia dikenali hasil pengalaman penduduk dan pengembara yang menerokai kawasan ini sejak dahulu lagi,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini kelmarin.

Julin Entalang ketika ditemu bual di Kumpang Langgir kelmarin menjelaskan sejarah dan asal usul nama Air Terjun Wong Kemantan Lidi yang menjadi tarikan semula jadi di Lubok Antu.

Keunikan air terjun ini terserlah melalui keaslian hutan hujan tropika, aliran air yang jernih serta kepelbagaian flora dan fauna yang masih terpelihara.

Bekas Ketua Kampung Kumpang Langgir, Baying Kadam, 73, berkata lokasi tersebut mudah diakses iaitu hanya kira-kira satu jam 15 minit perjalanan dari Sri Aman dan sekitar 15 minit dari Rumah Panjang Kumpang Langgir.

Air terjun ini menjadi tumpuan untuk aktiviti mandi-manda, berkhemah dan merentas hutan (jungle tracking), sama ada oleh penduduk setempat mahupun pengunjung luar.

Keindahan Air Terjun Wong Kemantan Lidi yang memukau pengunjung dengan aliran air yang jernih, dikelilingi hutan hujan tropika yang masih terpelihara dan suasana damai jauh dari kesibukan bandar.

Pengunjung hanya dikenakan bayaran RM3 bagi pengangkutan dan RM3 sebagai tiket masuk, menjadikannya destinasi rekreasi yang berpatutan.

Walaupun tanpa rekod sejarah formal, air terjun ini kekal sebagai warisan alam dan budaya masyarakat Iban, mencerminkan hubungan erat antara komuniti pedalaman dengan sungai serta hutan yang menjadi nadi kehidupan mereka sejak turun-temurun.

-RJ-

Tinggalkan komen anda