
Laporan/foto: Izzah Insyirah/Zamri Abd Razak (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Kampung Cina di sini bukan sahaja destinasi bersejarah, malah menjadi saksi kelangsungan warisan komuniti Cina yang berakar hampir 800 tahun lalu.
Menjelang Tahun Baharu Cina, deretan rumah kedai lama dihiasi tanglung merah, menghidupkan suasana tradisi yang diwarisi turun-temurun. Bagi penduduk asal, perayaan ini menjadi simbol penyatuan keluarga dan penghormatan kepada nenek moyang.

Tan Poh Kok dan keluarganya antara generasi terawal yang menetap di Kampung Cina.
Penduduk tempatan, Tan Poh Kok, 75, antara generasi terawal yang menetap di situ berkata Tahun Baharu Cina merupakan detik paling bermakna untuk menghimpunkan ahli keluarga dari dalam dan luar negara.
“Bagi kami, inilah masa paling penting untuk semua berkumpul dan mengeratkan semula hubungan keluarga kerana komitmen kerja menyebabkan tidak semua dapat pulang setiap tahun,” katanya ketika di temu bual semalam.
Menurutnya, persiapan bermula lebih awal termasuk pembersihan rumah sebagai simbol meninggalkan perkara lama, manakala hari pertama perayaan diraikan dengan penuh tertib serta saling bermaafan.

Suasana kemeriahan dan persiapan awal menyambut Tahun Baharu Cina di Kampung Cina, Kuala Terengganu.
Bagi masyarakat Hokkien, hari ketujuh menjadi kemuncak sambutan dengan simbolik tebu sebagai tanda kesyukuran. Hidangan seperti ikan, mi panjang dan limau mandarin pula melambangkan rezeki, umur panjang serta kemakmuran.
“Adat boleh berubah, tetapi tanda hormat kepada orang tua dan hubungan keluarga itu perlu berkekalan,” katanya.
Di Kampung Cina, sambutan Tahun Baharu Cina terus menjadi jambatan antara warisan silam dan generasi masa kini.
-RI





