Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

900 Golongan Asnaf Terima Sumbangan Aidilfitri di Titiwangsa

By 14 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Elyas Hisyam Mat Zin/Azri Zainal Abidin (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 14 Mac (MalaysiaAktif) – Menjelang 1 Syawal yang bakal disambut dalam tempoh seminggu lagi, kira-kira 900 penduduk Desa Pandan, Parlimen Titiwangsa menerima sumbangan Aidilfitri menerusi program kebajikan anjuran Pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa di Perkarangan Pangsapuri Desa Pandan Blok E, di sini hari ini.

Pengerusi penganjur merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 1 Parlimen Titiwangsa, Mohd Ariff Mohd Hefini berkata program itu bertujuan membantu meringankan beban golongan memerlukan khususnya keluarga B40, warga emas, ibu tunggal dan golongan asnaf dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Datuk Seri Johari Abdul Ghani bergambar kenangan bersama penerima sumbangan

“Bantuan yang disalurkan merangkumi sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas bagi membantu penerima menyediakan keperluan menjelang hari raya. Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasan Parlimen Titiwangsa terus diberi perhatian,” katanya.

Program tersebut disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Dalam ucapannya, beliau berkata sumbangan tersebut merupakan tanda kebersamaan Kerajaan MADANI dalam memastikan tiada golongan terpinggir daripada merasai kegembiraan menyambut Aidilfitri.

Salah seorang penerima sumbangan, Mohd Khusaini Norizan

“Walaupun kita berhadapan dengan cabaran ekonomi global dan kenaikan kos sara hidup, kebajikan rakyat di Parlimen Titiwangsa tetap menjadi keutamaan. Kita mahu setiap rumah di kawasan ini dapat menghidangkan juadah raya dan meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa dengan penuh rasa kesyukuran,” ujar beliau.

Sementara itu, salah seorang penerima, Mohd Khusaini Norizan, 45, berkata bantuan tunai dan barangan dapur yang diterima amat bermakna buat keluarganya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Seorang lagi penerima, Roseniza Sidik, 58, berkata program seumpama itu bukan sahaja membantu golongan memerlukan malah mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.

Program tersebut dijangka diteruskan di beberapa lokasi lain sekitar Parlimen Titiwangsa sehingga menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

-AA-

Tinggalkan komen anda