
Laporan/foto: Syamilah Yusman/Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 14 Mac (MalaysiaAktif) – Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini disemarakkan lagi dengan penganjuran Bazar Raya Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) 2026 yang berlangsung serentak di 1,098 lokasi NADI di seluruh negara, termasuk di Felda Bukit Batu, di sini hari ini.

Jualan Agro MADANI FAMA dengan jualan ayam segar RM5 seekor sempena Bazar Raya NADI di Felda Bukit Batu mendapat sambutan meriah oleh penduduk setempat
Pegawai Khas Ahli Parlimen Kulai Mohamad Shafwan Ani berkata program tersebut berfungsi sebagai platform strategik yang menghubungkan masyarakat setempat dengan pelbagai agensi kerajaan serta komuniti usahawan.
“Pemilihan lokasi ini adalah berdasarkan kedudukannya yang strategik, selain faktor kerjasama erat daripada penduduk setempat dan agensi terlibat dalam menjayakan kempen ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau aktiviti bazar tersebut.
Beliau yang hadir mewakili Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching turut menzahirkan harapan agar inisiatif seumpama itu diteruskan pada masa hadapan memandangkan impak positifnya terhadap kebajikan masyarakat sekitar.

NADI juga berfungsi sebagai platform memperkasa usahawan komuniti serta meluaskan peluang pemasaran menerusi pelbagai penganjuran kelas kemahiran
Menurut Shafwan, program di bawah Perkhidmatan Pintar NADI yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu bertujuan memperkasa usahawan komuniti serta meluaskan peluang pemasaran produk tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Terdahulu, majlis kick-off Bazar Raya NADI telah disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada 7 Mac lalu di NADI PPR Kerinchi sebagai simbolik pelancaran peringkat nasional.
Penganjuran Bazar Raya NADI 2026 menyasarkan penyertaan sehingga 10,000 usahawan, iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding lebih 5,000 usahawan yang terlibat pada tahun 2025.
Turut hadir, Ketua Jabatan Strategi dan Pembangunan NADI MCMC Nurzie Ibrahim dan Pengarah MCMC Negeri Johor Syed Isa Sheikh Alsagoff.
-AA-





