Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Warga Emas Ungguli Pertandingan Anyaman Ketupat Terbanyak

By 12 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norfaizah Adnan/Muhammad Azrul Hafiz Mohamad Nazri

KUALA LUMPUR, 12 Mac (MalaysiaAktif) –  Seorang warga emas yang menganyam sebanyak 45 ketupat dalam hanya 40 minit muncul juara Pertandingan Anyaman Ketupat Terbanyak di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, semalam.

Abu Bakar Ahmad, 62, dari Sungai Buloh, Selangor itu berkata kemahiran menganyam ketupat dipelajari sejak kecil ketika membantu bapanya yang meniaga sate di Kota Tinggi, Johor.

“Setiap pagi atau petang saya perlu menyiapkan ketupat untuk jualan keesokan harinya, jadi memang kerja harian saya adalah menganyam ketupat,” katanya ketika ditemu bual Malaysia Aktif.

Menurutnya, tunjuk ajar ibunya menjadi asas kepada kemahiran tersebut sehingga beliau mampu menganyam dengan lebih cepat dan kemas.

Dalam pada itu, Abu Bakar turut meluahkan kebimbangan terhadap seni anyaman ketupat tradisional yang semakin kurang diamalkan berikutan penggunaan ketupat plastik yang semakin meluas.

“Sebab itu kalau ada pertandingan seperti ini, saya akan sertai supaya seni anyaman ini dapat terus ditonjolkan,” katanya.

Pertandingan yang bermula pada jam 11 pagi itu menilai peserta berdasarkan jumlah ketupat yang dihasilkan, kualiti anyaman, kekemasan serta konsistensi saiz.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk Ainu Sham Ramli bersama Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali.

-AA-

Tinggalkan komen anda