
Laporan/foto: Eleannor Bedai Tinggom/Nicholas Jenaka (Kanowit)
KANOWIT, 12 Mac (MalaysiaAktif) — Sebuah meriam lama dikenali sebagai Bedil Kanowit terus dipelihara oleh masyarakat Kampung Bedil sebagai lambang sejarah perjuangan serta asal usul penempatan kawasan tersebut.
Nama Kampung Bedil dipercayai berasal daripada kewujudan meriam bersejarah yang dihadiahkan oleh Rajah Brooke kepada seorang tokoh tempatan, Luming, pada tahun 1860 sebagai tanda penghargaan atas jasanya mengetuai angkatan menentang musuh ketika itu.
Selepas kemenangan tersebut, Luming dilantik sebagai Penghulu bagi kaum Melanau Rajang di Kanowit, manakala meriam berkenaan diwariskan kepada anaknya, Pagang Luming, selepas kematiannya.
Menurut Jerry Linja, 72, pewaris generasi keempat bedil pusaka itu, meriam bersejarah kini masih dijaga oleh ibunya, Ti Pagang, berusia 94 tahun.

Jerry Linja memberitahu bedil yang terdapat di pekarangan kampung itu diwarisi oleh keluarganya secara turun-temurun.
“Bedil pusaka ini diwarisi secara turun-temurun oleh keluarga agar nilai sejarahnya tidak luput dan sentiasa diingati. Orang awam boleh datang melawat dan mengambil gambar, namun diingatkan agar menjaga kebersihan kawasan,” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif, semalam.
Bedil pusaka kini ditempatkan di sebuah pondok kecil berdekatan rumah waris bagi memastikan ia terus dipelihara dengan baik.
Sementara itu, Ketua Kampung Bedil, Mande Selungau, 58, berkata beliau berharap Kampung Bedil dapat diiktiraf sebagai Kampung Warisan pada masa hadapan.
“Kita memohon agar tapak bedil ini dapat dinaik taraf dengan lebih baik supaya menjadi peringatan bahawa setiap kampung mempunyai kisah tersendiri yang wajar dihargai dan dipelihara demi tatapan generasi akan datang,” katanya.
-RJ-





