Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Agihan Bantuan Kebajikan Sri Aman Cecah RM2.65 Juta Sebulan

By 15 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SIMANGGANG, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Agihan bantuan kebajikan bulanan di Bahagian Sri Aman setakat Februari tahun ini mencecah RM2.65 juta sebulan yang memberi manfaat kepada 5,820 penerima.

Bantuan yang disalurkan melalui pelbagai skim kebajikan itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membela kebajikan golongan memerlukan di peringkat akar umbi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor berkata bantuan tersebut melibatkan implikasi kewangan RM2,658,600 sebulan merangkumi kanak-kanak, keluarga berpendapatan rendah, Orang Kurang Upaya (OKU), pesakit terlantar dan warga emas.

Senyuman terukir di wajah seorang warga emas selepas menerima sumbangan Hari Raya daripada Dayang Noorazah (kanan) sempena Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Peringkat Bahagian Sri Aman, kelmarin.

“Statistik ini jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan Sarawak dalam memastikan tiada golongan masyarakat terpinggir daripada menikmati sistem sokongan sosial yang disediakan,” katanya ketika merasmikan Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Peringkat Bahagian Sri Aman, di sini kelmarin.

Daripada jumlah keseluruhan penerima itu, beliau berkata seramai 3,852 orang berada di Daerah Sri Aman dan Lingga dengan peruntukan sebanyak RM1,774,700 setiap bulan.

Pada majlis tersebut, seramai 100 klien Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima serahan simbolik hamper Hari Raya Aidilfitri bernilai RM80 dan wang tunai RM100.

-RJ-

Tinggalkan komen anda