Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Hobi Tanam Anak Pokok Jadi Sumber Pendapatan di Bazar Raya NADI

By 15 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Krisha a/p Selladurai/NADI Taman Nilam

PONTIAN, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Bermula sekadar hobi mengisi masa lapang, aktiviti menanam anak pokok kini menjadi sumber pendapatan tambahan bagi sepasang suami isteri di program Bazar Raya Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) 2026.

Mohd Fairuz Hashim, 42, berkata beliau mengambil peluang menyertai program tersebut dengan menjual pelbagai jenis anak pokok yang mudah diurus serta mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh singkat.

Nur Hanisah Zakaria bersama pembeli yang mendapatkan anak pokok di gerainya

Menurutnya, antara anak pokok yang mendapat sambutan pengunjung ialah cili, pudina dan daun kesum.

“Pada awalnya, aktiviti menanam ini hanyalah sekadar hobi. Namun, melihat kepada trend kenaikan harga sayur-sayuran dan cili di pasaran, kami mengambil inisiatif menjual anak pokok bagi menggalakkan orang ramai menanam sendiri di rumah,” katanya ketika ditemui di NADI Taman Nilam, di sini kelmarin.

Mohd Fairuz yang mengusahakan perniagaan itu bersama isterinya, Nur Hanisah Zakaria, 37, turut menyediakan bekalan baja serta memberikan khidmat nasihat mengenai panduan penanaman yang betul kepada pelanggan.

Sementara itu, Pengurus NADI Taman Nilam, Noraziah Abas menyifatkan penganjuran bazar tersebut sebagai platform strategik bagi membantu peniaga kecil menjana pendapatan tambahan, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Selain aktiviti jual beli, kami turut menyelitkan program komuniti seperti saringan kesihatan secara percuma untuk penduduk setempat agar fungsi NADI sebagai pusat integrasi komuniti terus diperkasakan,” jelas beliau.

Bazar Raya NADI 2026 yang berlangsung serentak di seluruh negara itu menyaksikan penyertaan aktif usahawan tempatan yang menawarkan pelbagai barangan keperluan termasuk makanan ringan, produk kesihatan, serta barangan terpakai (preloved).

-AA-

Tinggalkan komen anda