
Laporan/foto: M Zakry Chan
MELAKA, 14 Mac (MalaysiaAktif) – Pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) oleh kerajaan kepada penjawat awam dan pesara disambut baik kerana dilihat mampu membantu meringankan beban kewangan khususnya dalam menjelang Hari Raya yang bakal tiba.
Seorang penjawat awam, Irwan Ghazi, 44, berkata bantuan tersebut amat bermakna terutama bagi membantu perbelanjaan harian dan keperluan keluarga menjelang Hari Raya.

Irwan Ghazi ketika memberi maklum balas berkaitan BKK
“Pemberian bantuan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam yang terus komited menjalankan tanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Bantuan ini sedikit sebanyak membantu kami menguruskan perbelanjaan dalam persiapan Aidilfitri seperti baju raya dan keperluan membeli barangan dapur,” katanya.
Sementara itu menurut, seorang pesara kerajaan, Mad Desa Mad Eson, 75, menyifatkan bantuan yang diberikan sebagai satu inisiatif yang amat dihargai oleh golongan pesara.
“Walaupun sudah tidak lagi berkhidmat, pesara tetap memerlukan sokongan kewangan bagi menampung pelbagai keperluan termasuk kos perubatan dan perbelanjaan harian.
“Sebagai pesara, bantuan seperti ini amat kami hargai kerana ia menunjukkan kerajaan tidak melupakan jasa dan sumbangan kami ketika masih berkhidmat dahulu,” ujarnya.
Rata-rata penerima berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu meringankan beban kewangan golongan penjawat awam dan pesara.
-AA-





