
Laporan/foto: Ashikin Mustafa/Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 14 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 1,077 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti menerima Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 3 pada Majlis Penyampaian Bantuan Kasih Johor (BKJ) serta program berbuka puasa bersama Menteri Besar Johor di Masjid An-Nur Batu 4 di sini, semalam.

Menteri Besar Johor berucap ketika Majlis Penyampaian Bantuan Kasih Johor dan Berbuka Puasa Daerah Kota Tinggi
Mereka melibatkan ketua blok Felda, ketua isi rumah Orang Asli, anak yatim, pengawal keselamatan, pekerja pembersihan sekolah serta pelajar Tingkatan Enam dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Menteri Besar Dato’ Onn Hafiz Ghazi berkata pelaksanaan BKJ fasa ketiga melibatkan hampir 500,000 rakyat Johor dengan jumlah peruntukan sebanyak RM216 juta.
“BKJ merupakan inisiatif kebajikan utama kerajaan negeri Johor yang diperkenalkan menerusi Belanjawan Johor 2026 bagi menyalurkan hasil negeri kepada rakyat serta membantu mengurangkan beban kos sara hidup.
“Bantuan ini disalurkan tanpa melibatkan sebarang isu kronisme atau pilih kasih serta tidak mengira latar belakang politik, sebaliknya sesiapa sahaja dalam kalangan Bangsa Johor yang memerlukan bantuan menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk dibantu,” katanya pada majlis berkenaan.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Aznan Tamin, Pegawai Daerah Kota Tinggi Miswan Yunus, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kota Tinggi serta ketua-ketua jabatan.
-AA-





