
Laporan/foto: Boniface Watt Su/NADI Pekan Pakan (Pakan)
PAKAN, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Penganjuran Bazar Raya Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) 2026 di Pekan Pakan berjaya menghimpunkan komuniti setempat melalui pelbagai aktiviti ekonomi sempena sambutan Aidilfitri.
Program yang berlangsung di hadapan NADI Pekan Pakan kelmarin memberi peluang kepada penduduk menikmati pelbagai aktiviti serta mendapatkan barangan keperluan daripada usahawan tempatan.
Suasana bazar dimeriahkan dengan pelbagai gerai yang menawarkan produk berkaitan sambutan perayaan yang mendapat sambutan baik daripada komuniti setempat.
Penganjuran program tersebut bertujuan merapatkan hubungan masyarakat selain memberi ruang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk sekali gus membantu meningkatkan jualan.
Pengurus NADI Pekan Pakan William Chambai berkata penganjuran Bazar Raya NADI memberi peluang kepada usahawan kecil di daerah itu untuk memasarkan produk kepada komuniti setempat.
“Kami berharap platform seperti ini dapat membantu meningkatkan pendapatan usahawan di samping menggalakkan sokongan terhadap produk tempatan,” katanya kepada MalaysiaAktif.
Antara pengisian utama program termasuk Jualan Produk Hari Raya Usahawan NADI, jualan makanan, aktiviti Kidventure serta taklimat keusahawanan secara dalam talian.
Penganjuran tersebut mencerminkan peranan berterusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui NADI dalam merapatkan jurang digital dan sosioekonomi masyarakat.
Secara keseluruhannya Bazar Raya NADI 2026 Daerah Pakan berjaya menyemarakkan suasana harmoni serta memberi impak positif dari aspek ekonomi kepada masyarakat di kawasan tersebut.
-RJ-





