
Laporan/foto: S. Shalene (Timur Laut)
GEORGE TOWN, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 di Gelanggang Bola Keranjang Medan Angsana, Paya Terubong, di sini semalam berlangsung meriah dengan kehadiran penduduk setempat.

Irama muzik dan gerakan bersemangat memeriahkan sesi zumba yang menghimpunkan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong Wong Hon Wai, turut hadir memeriahkan program serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.
Salah seorang pengunjung, Ng Sok Yim, 42, menyifatkan program tersebut sangat bermanfaat kerana bukan sahaja menyediakan aktiviti yang menyeronokkan, malah membuka peluang kepada penduduk mendapatkan pemeriksaan kesihatan serta beriadah bersama keluarga.
“Program seperti ini sangat baik untuk komuniti kerana ia menggalakkan gaya hidup sihat di samping merapatkan hubungan antara penduduk setempat,” katanya.

Pelbagai agensi mengambil kesempatan memberi perkhidmatan percuma kepada para pengunjung.
Program anjuran bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Semarak Api, Lebuh Relau, Medan Angsana, Komuniti MADANI Paya Terubong, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Terubong Indah, Medan Angsana serta Semarak Api itu turut disokong oleh pelbagai agensi dan pihak swasta bagi memeriahkan sambutan serta memberi manfaat kepada komuniti, khususnya golongan wanita.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program seperti sesi zumba, demonstrasi solekan dan memasak, pemeriksaan kesihatan percuma serta jualan but kereta yang memberi peluang kepada usahawan kecil mempromosikan produk mereka kepada masyarakat.
-RI






