
Laporan/foto: Donny Minggu Ling (Tatau)
TATAU, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Kemunculan buah ucung atau nama saintifiknya Baccaurea angulata sering menjadi petanda berakhirnya musim buah-buahan hutan di kawasan Borneo.

Isi buah ucung berwarna putih dan berulas dengan rasa manis serta sedikit masam menjadikan buah ini enak dimakan segar atau dijadikan jeruk.
Buah hutan eksotik yang endemik di Sarawak dan Kalimantan, Indonesia itu turut dikenali sebagai belimbing hutan kerana bentuknya menyerupai belimbing bersaiz kecil dengan kulit merah tebal.
Isinya berwarna putih dan berulas dengan rasa manis serta sedikit masam menjadikannya enak dimakan segar atau dijadikan jeruk.
Buah ucung lazimnya tumbuh meliar di kawasan hutan dan jarang diusahakan secara komersial menyebabkan ia sukar ditemui kecuali pada penghujung musim buah-buahan.
Penjaja, Muri Nabau, 42, berkata buah ucung sering menjadi petanda musim buah hampir berakhir dan mendapat permintaan daripada pengunjung kerana rasanya yang unik.
“Buah ini memang ditunggu oleh peminat buah hutan kerana rasanya yang berbeza serta seimbang antara manis dan masam,” katanya kepada MalaysiaAktif ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, buah ucung biasanya dijual pada harga sekitar RM7 hingga RM8 sekilogram selain turut menawarkan pelbagai buah hutan lain seperti buah isau kepada pengunjung.
Keunikan rasa serta sifatnya yang hanya muncul pada musim tertentu menjadikan buah ucung antara khazanah semula jadi Borneo yang terus mendapat perhatian pencinta buah tempatan.
-RJ-





