Skip to main content
Berita TempatanSarawak

GIATMARA Lubok Antu Perkasa Kemahiran Belia Luar Bandar

By 9 Mac 2026Mac 10th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aileen Madeh Nension (Lubok Antu)

LUBOK ANTU, 9 Mac (MalaysiaAktif) – GIATMARA Lubok Antu terus memainkan peranan sebagai pusat latihan kemahiran yang membuka peluang kepada belia luar bandar meningkatkan kemahiran serta membina masa depan kerjaya.

Salah seorang pelatih Kursus Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam GIATMARA Lubok Antu, Leo Kenny, 18 sedang menyiapkan tugasan kimpalan yang diberikan oleh tenaga pengajar.

Institusi latihan itu menawarkan kursus berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memberi penekanan kepada kemahiran praktikal selaras dengan keperluan industri.

Pada masa ini, dua kursus utama ditawarkan iaitu Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam serta Teknologi Automotif.

Seramai 32 pelatih sedang mengikuti latihan di pusat berkenaan yang terdiri daripada belia tempatan yang berminat mempelajari kemahiran teknikal bagi meningkatkan peluang pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri.

Andy memberitahu latihan yang disediakan di GIATMARA Lubok Antu memberi tumpuan kepada pengalaman praktikal.

Tenaga pengajar, Andy Jimbai, 40, berkata latihan yang diberikan menumpukan kepada pengalaman praktikal supaya pelatih lebih bersedia apabila melangkah ke alam pekerjaan.

“Pendekatan latihan secara praktikal membantu pelatih memahami kemahiran dengan lebih mendalam selain meningkatkan keyakinan mereka untuk bekerja dalam bidang berkaitan,” katanya kepada MalaysiaAktif ketika ditemui di pusat latihan berkenaan, semalam.

Pembantu Tadbir GIATMARA Lubok Antu, Francisca Albert Anchah, 53, berkata sambutan terhadap program latihan kemahiran tersebut amat menggalakkan kerana memberi peluang kepada belia mempelajari kemahiran yang berguna.

Francisca mendedahkan sambutan belia di Lubok Antu terhadap program latihan kemahiran di GIATMARA amat menggalakkan.

“Pengambilan pelatih dibuat beberapa kali setahun dengan tempoh latihan antara enam bulan hingga dua tahun bergantung kepada kursus yang ditawarkan,” katanya.

Latihan yang disediakan melalui kemudahan bengkel serta bimbingan tenaga pengajar berpengalaman bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada pelatih malah berpotensi melahirkan usahawan dalam bidang kemahiran.

GIATMARA Lubok Antu terus menjadi platform penting dalam melahirkan belia berkemahiran sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

-RJ-

Tinggalkan komen anda