
Laporan/foto: Nyempal Inggang/Aileen Madeh Nension (Lubok Antu)
LUBOK ANTU, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Suasana pekan Lubok Antu bertukar meriah apabila masyarakat setempat bersama komuniti Tionghua meraikan Chap Goh Mei iaitu hari penutup sambutan Tahun Baharu Cina, malam tadi.
Perayaan yang diadakan secara sederhana tetapi penuh makna itu menarik kehadiran penduduk pelbagai kaum untuk menyaksikan aktiviti kebudayaan serta menikmati hidangan tradisional.
Antara acara yang berlangsung ialah persembahan tarian singa, nyalaan mercun serta jamuan makan bersama yang mengeratkan hubungan masyarakat setempat.

Masyarakat di sekitar Pekan Lubok Antu tidak melepaskan peluang menyaksikan perayaan Chap Goh Mei di pekan tersebut, semalam.
Penduduk pekan, Wahub Absah, 55, berkata sambutan Chap Goh Mei di Lubok Antu bukan sahaja menjadi tradisi masyarakat Tionghua malah turut disertai masyarakat lain sebagai simbol keharmonian dan perpaduan kaum.
“Sambutan seperti ini memberi peluang kepada masyarakat berbilang kaum untuk berkumpul, saling mengenali serta mengukuhkan hubungan silaturahim,” katanya ketika ditemui pada sambutan berkenaan di sini.
Penduduk yang hadir turut menyatakan kegembiraan kerana acara tersebut menghidupkan suasana pekan Lubok Antu selain menjadi platform memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Chap Goh Mei yang diraikan pada hari ke-15 Tahun Baharu Cina menandakan berakhirnya rangkaian sambutan perayaan bagi masyarakat Tionghua di seluruh negara.
Sambutan tersebut turut menarik kunjungan pengunjung dari luar daerah sekali gus memeriahkan lagi suasana perayaan di Lubok Antu.
-RJ-






