
Laporan/foto: Nur Shahrina Amran (Tangkak)
TANGKAK, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Penggunaan aplikasi mobil Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) diperkenalkan bagi memperkukuh pemantauan agihan minyak masak bersubsidi, sekali gus mengelakkan ketirisan dalam rantaian bekalan.

Pengunjung membuat pembelian minyak masak paket menggunakan aplikasi eCOSS di kaunter khas sempena Program Jualan Rahmah
Pengurus Jualan Rahmah Daerah Muar dan Tangkak, Nabihah Abdul Halim berkata, pelaksanaan aplikasi tersebut kini dijalankan di tiga lokasi Point of Sales (POS) di bawah Fasa Kedua Program Agihan Minyak Masak Bersubsidi.
“Di daerah Tangkak, pelaksanaan aplikasi ini telah dijalankan di Fresco Tangkak, Econsave Sungai Mati dan Pasaraya Kini Gambir,” katanya.
Menurutnya, penggunaan eCOSS membolehkan setiap transaksi direkodkan secara menyeluruh sekali gus meningkatkan kecekapan pemantauan bekalan minyak masak bersubsidi.
Dalam masa sama, Program Jualan Rahmah di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang berlangsung di Dataran Sagil hari ini turut menawarkan pelbagai barangan keperluan asas pada harga lebih rendah bagi membantu rakyat menjelang Aidilfitri.
Seorang pengunjung, Hasidah Zenuri, 57, berkata inisiatif tersebut amat membantu dalam membuat persiapan perayaan dengan lebih menjimatkan.
Program itu akan diteruskan di beberapa lokasi lain, iaitu pada 28 Mac di Tangkak Jaya dan 30 Mac di Taman Muhibbah, Sungai Mati.
-AA-





