Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya Tingkat Kesedaran Pengguna

By 18 Mac 2026Mac 25th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Evelyn Lungan / Awangku Hamizan (Belaga)

BELAGA, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga mengadakan Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 2026 di Jambatan Belaga bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya pagi tadi.

Kempen tersebut dilaksanakan bersempena Op Selamat 2026 yang dijadualkan berlangsung bermula 19 Mac hingga 24 Mac ini di seluruh negara.

Program yang bermula pada jam 9 pagi itu melibatkan pengagihan risalah keselamatan serta 30 set bungkusan makanan kepada pemandu sebagai tanda keprihatinan pihak polis.

Jimbai Bala menyantuni pengguna jalan raya dengan penyerahan goodies dalam usaha memperkukuh kesedaran keselamatan di jalan raya.

Ketua Polis Daerah Belaga DSP Jimbai Bala berkata advokasi tersebut merupakan pendekatan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mendidik masyarakat mengenai kepentingan keselamatan jalan raya.

“Tujuan kita mengadakan Op Selamat adalah memberi kesedaran kepada semua pemandu khususnya mereka yang pulang ke kampung supaya memandu dengan selamat,” katanya ketika ditemui pada program tersebut hari ini.

Jimbai menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dan bakal mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar peraturan trafik.

“Sepanjang Op Selamat dilaksanakan, tindakan tegas termasuk pengeluaran saman akan dikenakan terhadap pengguna yang melakukan kesalahan jalan raya,” jelasnya lagi.

Jimbai Bala menasihatkan pemandu supaya sentiasa memandu dengan selamat dan mematuhi peraturan lalu lintas.

Beliau turut menasihatkan pemandu yang melakukan perjalanan jauh supaya berhenti berehat sekiranya berasa letih atau mengantuk bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Mengulas statistik keselamatan, Jimbai memaklumkan tiada sebarang kes kemalangan maut direkodkan di daerah Belaga sepanjang musim perayaan tahun lalu.

“Bagi tahun 2025 tiada kes kemalangan direkodkan manakala semasa Op Selamat Tahun Baharu Cina yang lalu hanya tiga kes dilaporkan melibatkan kerosakan kenderaan serta kemalangan serius,” katanya.

Program seumpama ini diharap dapat menyemai budaya pemanduan berhemah sekali gus memastikan keselamatan jalan raya kekal menjadi tanggungjawab bersama masyarakat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda