
Laporan/foto: Iswandi Kassim/UKAS (Sri Aman)
SRI AMAN, 11 Mac (MalaysiaAktif) – Program Jelajah Ramadan Daerah Sri Aman 2026 menjadi platform menyampaikan mesej kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah kepada masyarakat setempat sempena bulan Ramadan, semalam.
Program anjuran Pejabat Daerah Sri Aman melalui Jawatankuasa One Stop Committee Menangani Isu Dadah dan Substansi (OSC MIDS) dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Sri Aman itu berlangsung di Surau Kebahagiaan, Kampung Hilir.
Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang berkata pendekatan dakwah serta santuni komuniti pada bulan Ramadan merupakan kaedah berkesan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
“Memerangi najis dadah bukan sekadar tanggungjawab pihak berkuasa, sebaliknya memerlukan komitmen seluruh komuniti selaras dengan tuntutan agama yang menekankan penjagaan akal dan maruah,” katanya ketika ditemui pada program tersebut semalam.

Kamarulzaman Kawi menyampaikan tazkirah khas bertajuk ‘Memelihara Akal, Menjauhi Dadah’ semasa Program Jelajah Ramadan OSC MIDS di Surau Kebahagiaan, Kampung Hilir.
Menurut Shariff, pemilihan rumah ibadat sebagai lokasi program bertujuan memperkukuhkan peranan institusi keluarga dan masjid sebagai benteng awal dalam mencegah gejala sosial dalam kalangan belia.
Terdahulu, program dimulakan dengan tazkirah bertajuk Memelihara Akal, Menjauhi Dadah: Tuntutan Islam dalam Kehidupan yang disampaikan oleh Pegawai Islam Bahagian Sri Aman, Kamarulzaman Kawi.
Program tersebut diakhiri dengan majlis berbuka puasa serta solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih berjemaah bersama penduduk Kampung Hilir serta ketua jabatan tempatan.
-RJ-





