Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

32 Tahun Beroperasi, Jeans Clinic Terus Terima Sambutan Menggalakkan

By 11 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamilah Yusman/Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 11 Mac (MalaysiaAktif) – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, premis pengubahsuaian pakaian, Jeans Clinic, terus menjadi tumpuan pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat kepakaran mengubah suai seluar yang telah diusahakan sejak 32 tahun lalu.

Azwan berkata pada bulan Ramadan ini, kedainya menerima tempahan kira-kira 60 pasang seluar setiap hari untuk diubah suai

Salah seorang pengusahanya, Azwan Ahmad, 48, berkata premisnya yang menerima kunjungan pelanggan secara terus (walk-in) meningkat mendadak sejak awal Ramadan dan dijangka berterusan sehingga ke ambang Syawal.

“Secara purata, kami menerima kira-kira 60 tempahan seluar setiap hari. Walaupun fokus utama kami adalah seluar, kami masih menerima tempahan untuk baju namun jumlahnya agak terhad, iaitu sekitar 25 peratus daripada keseluruhan tempahan.

“Bagaimanapun, bagi tempoh dua minggu terakhir sebelum raya, kami hanya memfokuskan kepada kerja-kerja memotong panjang dan melaraskan kelebaran seluar. Proses mengecilkan pinggang dan pemasangan cawat terpaksa dihentikan sementara bagi memastikan tempahan dapat disiapkan tepat pada waktunya,” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif, di sini hari ini.

Bagi memastikan kualiti dan kepantasan kerja, Jeans Clinic menggunakan sembilan jenis mesin jahit khusus termasuk mesin jahit tepi dan mesin jahit rantai

Menurut Azwan, bagi memastikan kualiti dan kepantasan kerja, pihaknya mengoperasikan sembilan jenis mesin jahit khusus, termasuk mesin jahit tepi dan mesin jahit rantai (chain stitch).

Perniagaan yang kini beroperasi di Pasar Awam Larkin itu asalnya diasaskan oleh abang beliau di sekitar bandar raya ini sebelum berpindah ke lokasi tetap sekarang sejak tahun 1994.

Kecekapan dan mutu kerja yang konsisten turut menarik minat pelanggan dari luar negara, termasuk Jaafar Amran, 63, seorang pelanggan setia dari Singapura yang sanggup merentas tambak demi mendapatkan perkhidmatan di situ.

“Sudah 10 tahun saya dan keluarga menggunakan khidmat Jeans Clinic. Selain layanan yang mesra, harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan dan hasil kerjanya sentiasa memuaskan hati,” ujarnya.

Jeans Clinic beroperasi setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 6 petang, khususnya dalam tempoh dua minggu terakhir sebelum Aidilfitri bagi memenuhi permintaan pelanggan yang kian bertambah.

-AA-

Tinggalkan komen anda