Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Johor Peruntuk RM1.4 Juta Bantu Mahasiswa Pulang ke Kampus

By 29 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Komala Komala Rajan/Mohd Zahid Othman (Johor)

ISKANDAR PUTERI, 29 Mac (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Johor memperuntukkan RM1.4 juta bagi menjayakan Program ‘Meh Balik Kampus’ 2026 sebagai inisiatif meringankan beban kos pengangkutan mahasiswa anak Johor yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pendidikan negeri Aznan Tamin berkata inisiatif khas tersebut melibatkan penyediaan perkhidmatan bas percuma bagi zon Semenanjung serta subsidi tiket penerbangan kepada penuntut di Sabah dan Sarawak.

“Bagi fasa pertama sesi kali ini, seramai 200 mahasiswa dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terlibat dalam penghantaran pulang ke zon utara yang berpusat di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri.

“Kerajaan negeri komited untuk meneruskan program ini dari semasa ke semasa bagi membantu pelajar, khususnya daripada keluarga yang kurang berkemampuan, demi memastikan kebajikan dan kelancaran sesi pembelajaran mereka terjaga,” katanya, di sini kelmarin.

Sementara itu, mahasiswa UniMAP, Jeevasheni Jeyabalan, 23, menyifatkan inisiatif tersebut sebagai langkah proaktif dalam membantu pelajar mendepani kos sara hidup yang tinggi, memandangkan tambang bas ke Perlis boleh mencecah RM150 pada musim perayaan.

“Selain penjimatan kos, kemudahan bas persiaran yang disediakan sangat selesa dan mempunyai ruang bagasi yang luas, sekali gus memudahkan urusan kami tanpa perlu menggunakan khidmat kurier untuk menghantar barang,” katanya.

Mewakiki ibu bapa, Usman Awang, 57, berkata program berkenaan bukan sahaja membantu dari sudut kewangan bagi kumpulan B40 malah memberikan ketenangan fikiran dari aspek keselamatan.

“Langkah mengumpulkan semua pelajar dalam satu bas khas adalah lebih selamat berbanding pengangkutan awam biasa yang melibatkan penumpang pelbagai latar belakang.

“Saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa hadapan, termasuk bagi tujuan pulang ke kampung,” katanya.

-FN

Tinggalkan komen anda