
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)/Facebook Mohd Jafni Md Shukor
JOHOR BAHRU, 28 Mac (MalaysiaAktif) – Buat julung kalinya, Zoo Johor memperkenalkan tarikan baharu kepada pengunjung dengan pembukaan operasi zoo waktu malam pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula semalam.

Jafni turut menyantuni orang ramai yang datang untuk mengunjungi Zoo Johor yang dibuka pada waktu malam bermula semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata inisiatif itu yang diberi nafas baharu memberikan pengalaman berbeza dan juga tarikan kepada pengunjung dalam negeri dan luar negeri.
“Untuk malam ini sahaja, hari pertama, Zoo Johor telah merekodkan kehadiran pengunjung melebihi 5,000 orang dan dijangka akan meningkat dalam beberapa minggu lagi,” katanya ketika ditemui selepas meninjau operasi waktu malam Zoo Johor, di sini semalam.
Menurut Jafni lagi, harga tiket masih kekal seperti biasa pada kadar harga tiket zoo paling rendah di Malaysia.

Jafni, berkata keterujaan pengunjung yang hadir bagi melihat aktiviti haiwan di Zoo Malam Johor pada waktu malam dan sekaligus menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Johor.
“Harga tiket bagi dewasa iaitu RM10 dan untuk kanak-kanak hanya RM5 sahaja manakala golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan juga warga emas adalah percuma dan harga tiket sama seperti zoo pada waktu siang.
“Pengunjung juga boleh membeli tiket di kaunter yang disediakan atau secara atas talian dengan lebih awal bagi memudahkan urusan ketika masuk ke Zoo Johor. Selain itu juga, turut disediakan bas ulang alik untuk kemudahan pengunjung yang datang ke Zoo Johor,” katanya.
Tambahnya, Zoo Johor telah menempatkan lebih 507 pelbagai haiwan terdiri daripada 93 spesies selepas penambahan jumlah haiwan sebanyak 100 ekor haiwan daripada 35 spesies yang lain.
-RI





