
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Jualan MADANI Koperasi anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Johor mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penganjuran jualan serentak di empat lokasi di Johor bermula semalam.

Jualan MADANI Koperasi yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Johor dengan lebih 30 produk barangan disediakan sempena Aidilfitri
Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Johor Mahzan Noordin berkata lokasi Jualan MADANI Koperasi itu dipilih berdasarkan lokaliti dan penduduk setempat yang ramai bagi memudahkan penduduk sekitar berbelanja bagi membuat persediaan menjelang Aidilfitri.
“Antara lokasi Jualan MADANI Koperasi ini adalah di Koperasi Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi, Koperasi Kundang Ulu, Muar dan Koperasi Temu Jodoh, Segamat yang diadakan selama tiga hari bermula semalam hingga esok manakala di Wisma Persekutuan Johor Bahru hanya diadakan sehari iaitu pada semalam,” katanya.
Sementara itu, Mahzan berkata Jualan MADANI Koperasi itu telah menampilkan 30 produk barangan dengan potongan harga sebanyak 20 peratus bagi setiap item bagi mengurangkan beban rakyat dalam mendepani kos sara hidup ketika ini.

Penjawat awam dan orang ramai memenuhi perkarangan Blok B Wisma Persekutuan Johor Bahru bagi membeli barang keperluan sempena Jualan MADANI Koperasi
“Kita juga menyediakan set kombo meliputi barangan kering seperti beras, telur, minyak masak, tepung, gula, kicap dan lain-lain dengan tawaran harga sebanyak RM49 sahaja untuk satu set. Selain itu, terdapat juga jualan barang basah seperti ayam dengan harga RM15 seekor,” katanya.
Tambahnya, Jualan MADANI Koperasi ini akan diteruskan pada musim perayaan utama di lokasi lain bagi membantu rakyat membeli barangan dengan harga yang berpatutan dan berbaloi.
-AA-





