
Laporan/foto: Lee Nyuk Lan (Sarawak)
KUCHING, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Di sebalik hiruk-pikuk Kenyalang Park Commercial Centre tersimpan kisah harmoni yang terjalin daripada pelbagai rasa, budaya serta generasi.
Suasana meriah dengan suara tawar-menawar serta aroma kuih tradisional menjadikan lokasi ini ruang yang menghidupkan warisan masyarakat setempat.

Danieh menunjukkan paket kuih sepit yang dijualnya di Kenyalang Park Commercial yang sering menjadi pilihan pelanggannya.
Bagi peniaga, Mohd. Danieh, 23, Kenyalang Park merupakan rumah kedua yang menyimpan legasi keluarganya sejak zaman datuknya lagi.
Beliau sebagai generasi ketiga meneruskan amanah perniagaan keluarga dengan menjual kuih sepit serta agar-agar gulung di kawasan berkenaan.
Danieh kini mengembangkan perniagaan dengan menawarkan pelbagai pilihan biskut tradisional serta kek lapis bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Kuih sepit tetap menjadi nadi utama perniagaannya yang dihasilkan menggunakan resipi rahsia keluarga bagi mengekalkan keaslian rasa.
Setiap paket kuih sepit disediakan dengan penuh ketelitian di dapur rumah bagi memastikan kualiti tradisional terus menjadi pilihan utama.
“Di kawasan ini ramai masyarakat Cina dan kebanyakan mereka memang mencari kuih sepit kerana menggemari rasa tradisional yang kurang manis,” katanya kepada MalaysiaAktif kelmarin.
Menurut Danieh, usaha tersebut merupakan satu ikrar untuk memastikan nama keluarga terus mekar di Kenyalang Park setiap kali musim perayaan tiba.

Lalitha Anadom, setia menjual murukku serta pelbagai makanan tradisional India bagi memenuhi permintaan pelanggan di Kenyalang Park.
“Bagi saya usaha ini bukan sekadar mencari rezeki tambahan malah untuk memastikan warisan keluarga tidak hilang ditelan zaman,” katanya lagi.
Keharmonian di lokasi tersebut turut diserikan dengan kehadiran Lalitha Anadom, 71, yang setia menjual kacang putih, murukku serta cucur rodeh sejak 15 tahun lalu.
Kehadiran Danieh dan Lalitha mencerminkan keunikan masyarakat Sarawak yang hidup dalam suasana saling menghormati walaupun berbeza latar budaya.
Kenyalang Park menjadi bukti bahawa warisan bukan sahaja dipelihara malah menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat dalam satu rasa serta cerita.
-RJ-





