
Laporan/foto: Hamzah Bohari (Song)
SONG, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Program Jualan RAHMAH yang berlangsung di perkarangan Masjid Nurul Islam Song semalam mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Antara barangan keperluan yang dijual semasa Jualan Rahmah di pekarangan Masjid Nurul Islam, Song semalam.
Pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan tepung ditawarkan pada harga lebih berpatutan berbanding pasaran.
Orang ramai mula hadir ke lokasi jualan dari awal pagi bagi mendapatkan barangan keperluan harian, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk sekitar yang ingin berjimat dalam perbelanjaan harian.
Salah seorang pengunjung, Evelyn Babai, 46, berkata program itu amat membantu masyarakat setempat.

Evelyn Babai (kiri) menyifatkan program Jualan Rahmah membantu masyarakat setempat mendapatkan barangan asas pada harga mampu milik.
“Program seperti ini memang sangat membantu kami sebagai pengguna. Harga barang yang ditawarkan lebih murah berbanding di kedai biasa, jadi kami dapat berjimat sedikit dalam perbelanjaan harian,” katanya ketika ditemui semasa program tersebut.
Beliau berharap program Jualan RAHMAH dapat diteruskan dari semasa ke semasa supaya lebih ramai penduduk berpeluang menikmati manfaat yang disediakan.
Program berkenaan turut mengeratkan hubungan komuniti apabila orang ramai berkumpul dan berinteraksi dalam suasana harmoni di kawasan masjid tersebut.
-RJ-





