
Laporan/foto: M Zakry Chan/Rimee Ismail
DURIAN TUNGGAL, 7 Mac (MalaysiaAktif) – Program Kacau Dodol yang berlangsung di Kampung Panchor, di sini semalam memperkukuh hubungan masyarakat setempat di samping mengekalkan tradisi warisan turun-temurun.

Kerjasama penduduk kampung menyediakan makanan warisan dodol.
Program anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Panchor itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk kampung yang bersama-sama bergotong-royong menyediakan dodol secara tradisional.
Pengerusi JPKK Kampung Panchor, Borhan Maaras berkata penganjuran program tersebut bukan sahaja bertujuan menghidupkan tradisi kacau dodol, malah menjadi medium untuk menyatupadukan masyarakat kampung.

Sebanyak tujuh kawah dodol dimasak bersama.
Menurutnya, aktiviti seumpama ini memberi peluang kepada generasi muda mengenali dan mempelajari proses penyediaan dodol yang menjadi antara warisan budaya masyarakat Melayu.
“Program ini dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk, memastikan tradisi kacau dodol yang menjadi warisan masyarakat kampung terus dipelihara dan tidak dilupakan oleh generasi muda,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Penganjuran program seperti itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha mengekalkan warisan tradisi di samping memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
-RI





