
Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)
KANGAR, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 410 penerima di seluruh Perlis menerima bantuan dalam Program Sejahtera MADANI – Kebajikan: Ziarah Kasih Ramadan 1447H anjuran Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis (ICU), bertujuan meringankan beban golongan yang memerlukan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Perlis, Maznah Musa berkata penerima terpilih adalah mereka yang berdaftar dalam sistem e-Kasih.
“Setiap penerima menerima bantuan berjumlah RM600, termasuk Bakul Kasih bernilai RM100 dan wang tunai RM500, bagi membantu persiapan menyambut perayaan,” katanya di sini baru-baru ini.
Bagi agihan mengikut Parlimen, seramai 200 penerima di Kangar, 100 penerima di Padang Besar yang menerima bantuan di Jabatan Belia dan Sukan, serta 100 penerima di Arau yang disampaikan di Pejabat KEMAS Simpang Empat.
Maznah menambah, terdapat 12,000 ketua isi rumah berdaftar dalam sistem e-Kasih di negeri ini, dan berharap mereka yang tidak terpilih tahun ini bersabar serta berpeluang menerima bantuan pada masa hadapan.
Program ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) yang dilancarkan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 24 Julai 2025 yang memberi tumpuan kepada empat fokus utama iaitu pendidikan, perumahan, kebajikan dan peningkatan pendapatan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
-FN





