
Laporan/foto: Mohammad Hafizee (Kuala Lumpur)/Facebook Yuneswaran Ramaraj
KUALA LUMPUR, 31 Mac (MalaysiaAktif) – Kementerian Perpaduan Negara akan meneliti cadangan untuk merangkan satu garis panduan bagi menangani isu 3R (Agama, Raja, dan Kaum) dalam kalangan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran berkata garis panduan itu akan menetapkan sempadan jelas mengenai perbincangan menyentuh isu sensitiviti 3R.
“Garis panduan ini bertujuan untuk mewujudkan Kod Etika iaitu menghalang penggunaan retorik perkauman sebagai modal politik, selain Mekanisme Kawalan, dapat membantu Yang di-Pertua Dewan Rakyat dalam memantau dan mengambil tindakan dalaman terhadap ahli Parlimen yang melanggar batas dan Pendidikan Pemimpin, untuk meningkatkan kesedaran wakil rakyat tentang tanggungjawab menjaga keharmonian nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Pelancaran Malaysian Racism Report oleh Pusat KOMAS, di sini semalam.
Beliau berkata cadangan itu susulan pendedahan Laporan Rasisme Malaysia 2025 oleh Pusat KOMAS yang menunjukkan bahawa institusi Parlimen menjadi penyumbang terbesar kepada insiden perkauman di negara ini bagi tahun kedua berturut-turut.
Menurut laporan tersebut, sebanyak 43 kes atau 40.2 peratus daripada keseluruhan 107 kes rasisme yang direkodkan pada tahun 2025 berpunca daripada ahli Parlimen.
“Dewan Rakyat sepatutnya menjadi institusi contoh yang dihormati. Apabila pemimpin yang dipilih rakyat menggunakan sentimen perkauman untuk meraih sokongan politik, ia bukan sahaja mencemarkan imej Parlimen, tetapi turut memberi impak domino yang negatif kepada masyarakat luar.
“Cadangan ini akan dikemukakan dalam satu pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul dalam masa terdekat ,” katanya.
-FN






