Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Bantuan 1,870 Kotak Air Diagihkan Kepada Penduduk Terjejas Kemarau Di Ulu Baoh

By 31 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/James Ambrose Anong (Mukah)

MUKAH, 31 Mac (MalaysiaAktif) – Sebanyak 1,870 kotak air minuman diagihkan kepada penduduk di kawasan Ulu Baoh, Daerah Dalat yang terjejas akibat gangguan bekalan air susulan musim kemarau.

Agihan bantuan tersebut melibatkan sembilan rumah panjang termasuk Rumah James, Rumah Lenggang, Rumah Ranggi serta Sekolah Kebangsaan (SK) Baoh Ulu.

Tuai Rumah James Ambrose Anong berkata inisiatif penghantaran air minuman itu amat membantu penduduk yang berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih.

“Keadaan cuaca panas berpanjangan telah menjejaskan sumber air utama penduduk untuk kegunaan minuman serta penyediaan makanan harian,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini semalam.

James Ambrose Anong sedang memeriksa senarai nama peneriman bekalan air minuman daripada Pegawai Kebajikan yang turut berada di lokasi.

James berkata permohonan bantuan tersebut dibuat oleh penduduk kepada Pejabat Daerah Dalat sebelum dipanjangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau menjelaskan permohonan tersebut mendapat perhatian segera selepas diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Dalat.

“Bantuan ini dapat disampaikan dengan cepat kepada penduduk yang memerlukan bagi memastikan kebajikan kami terus terpelihara,” katanya.

Penghantaran ini merupakan kali kedua selepas agihan pertama pada 28 Mac lalu melibatkan 1,218 kotak air minuman di kawasan Baoh Chelum dan Baoh Burak.

-RJ-

Tinggalkan komen anda