
Laporan/foto: Aini Aziz/Politeknik Kuala Terengganu(Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 1 Mac (MalaysiaAktif) – Politeknik Kuala Terengganu (PKT) menunjukkan keprihatinan terhadap salah seorang pelajarnya, Hafiq Muhammad Halim, 20, pelajar Diploma Teknologi Maklumat yang menangguhkan semester selepas disahkan menghidap tibi tulang dan kanser darah sejak Oktober 2025.
Pengarah PKT, Ts. Nadzri Che Kamis bersama barisan pengurusan hadir menziarahi Hafiq serta menyampaikan sumbangan hasil kutipan pelajar dan staf PKT sebagai tanda sokongan dan solidariti.

Sumbangan hasil kutipan pelajar dan staf PKT disampaikan kepada Hafiq sebagai tanda keprihatinan
Menurut Ketua Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), Ts. Noor Muzlinda Mat Hashim, Hafiq kini memerlukan penjagaan penuh namun tetap menunjukkan semangat dan keinginan tinggi untuk meneruskan pengajian, sambil berharap sokongan serta doa daripada warga PKT dapat terus menguatkan semangat beliau dalam menghadapi ujian kesihatan ini.
“Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban Hafiq dan memberikan semangat kepadanya untuk terus tabah menghadapi ujian kesihatan yang dilalui,” katanya.
Keprihatinan warga PKT diharapkan menjadi sumber kekuatan dan inspirasi buat pelajar ini dalam menghadapi ujian berat ini.
-AA-





