
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 28 Feb (MalaysiaAktif) – Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB) terus komited menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan di pulau itu.

Suhaili (tiga dari kiri) semasa menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim
Pengerusinya, Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata ASB bukan sekadar sebuah entiti perniagaan tetapi merupakan pemangkin pertumbuhan ekonomi di Labuan.
“ASB menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan, merancakkan aktiviti industri serta menyumbang kepada ekosistem perniagaan yang mampan sekali gus membuktikan bahawa kejayaan sesebuah syarikat harus seiring dengan kesejahteraan masyarakat di sekelilingnya.
“Saya berharap agar ASB akan terus maju, berkembang dengan lebih cemerlang dan diberikan keberkatan dalam setiap usaha yang dilaksanakan,” katanya semasa berucap pada Majlis Iftar ASB 2026 Bersama Asnaf, OKU dan Anak Yatim di sini, hari ini.

100 orang penerima terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim dan OKU menerima sumbangan sebagai tanda keprihatinan pihak ASB
Tambahnya, sempena Ramadan beliau turut mengajak semua pihak untuk saling bantu-membantu terutama kepada golongan yang memerlukan perhatian.
“Sempena Ramadan yang penuh keberkatan ini, marilah kita terus menyemai budaya saling memberi dan berkongsi rezeki, sesungguhnya setiap rezeki yang dikongsi dengan penuh keikhlasan akan membawa keberkatan dan mengukuhkan lagi silaturahim dalam komuniti kita.
“Pada hari ini, seramai 100 orang penerima terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim dan OKU (Orang Kurang Upaya) diraikan serta menerima sumbangan sebagai tanda ingatan dan keprihatinan daripada pihak ASB,” katanya lagi.
-AA-





