
Laporan/foto: Firdaus Rashid/Mawarni Ismail (Barat Daya)
PERMATANG DAMAR LAUT, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Kira-kira 230 peserta menyertai Program Qiamullail, Sahur dan Tadarus Al-Quran anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung bersama Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA) Bayan Baru di Masjid Al-Qahhar, di sini, kelmarin.

Ros Suriyati Alang (dua dari kiri) gembira dengan sambutan komuniti yang amat menggalakkan
Program bermula seawal 4 pagi itu melibatkan penyertaan ahli HAWA, pelajar Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang serta masyarakat setempat.
Penganjuran yang memasuki tahun ketiga itu dilihat semakin mendapat sambutan sekali gus menjadi platform memperkukuh penghayatan ibadah sepanjang Ramadan dalam kalangan komuniti setempat.
Setiausaha Kehormat HAWA Malaysia Ros Suriyati Alang, berkata kelainan program tahun ini adalah penglibatan pelajar KITAB Pulau Pinang yang dipilih khas kerana memiliki kemahiran bacaan al-Quran yang baik dan lancar bagi membantu membimbing peserta tadarus.
Menurutnya, para peserta dibahagikan kepada 30 kumpulan kecil dengan masing-masing mewakili satu juzuk al-Quran bagi memastikan bacaan dapat disemak dan diperbetulkan secara lebih sistematik.
“Kita bawa pelajar KITAB agar dapat membimbing dan memperbetulkan bacaan para peserta tadarus,” katanya.

Peserta bersahur bersama-sama di perkarangan masjid
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap ADUN Batu Maung Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, hadir merasmikan dan turut sama bersahur dan solat subuh secara berjemaah di masjid tersebut.
Penganjuran program ini dilihat memberi impak positif kepada komuniti setempat dengan memperkukuh budaya mengimarahkan masjid, di samping memupuk minat masyarakat untuk mendalami bacaan al-Quran secara lebih teratur dan berterusan.
-AA-






