Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Konsep ‘Potluck’ Warnai Lan Berambeh Sungkei Sibu

By 8 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohamad Norhasmin/Ahmad Fairuz (Sarawak)

SIBU, 8 Mac (MalaysiaAktif) – Lan Berambeh Sungkei Sibu 2026 menghimpunkan kira-kira 25,000 pengunjung dalam suasana berbuka puasa beramai-ramai di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, di sini semalam.

Program yang memasuki edisi kelapan ini menonjol dengan konsep berbuka puasa secara terbuka dan santai yang berjaya menyatukan masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam suasana harmoni.

Keunikan utama program terserlah melalui konsep potluck apabila pengunjung membawa juadah sendiri untuk dikongsi bersama bagi memupuk budaya berkongsi rezeki sepanjang Ramadan.

Para pengunjung daripada pelbagai bangsa dan agama menikmati juadah berbuka puasa berkonsepkan potluck di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, Sibu, semalam.

“Dengan membawa makanan sendiri dan berkongsi dengan orang lain, suasana berbuka puasa menjadi lebih meriah serta mengeratkan silaturahim sesama masyarakat,” kata peserta Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sibu, Shahibah Abu Bakar ketika ditemui MalaysiaAktif.

Kemeriahan acara turut diserikan dengan Pertandingan Main Bedil menggunakan meriam buluh, paluan Teter Beduk, persembahan nasyid dan qasidah, majlis khatam al-Quran sempena Nuzul Al-Quran serta beberapa pertandingan menonjolkan warisan budaya tempatan.

“Pemakaian busana tradisional ini menjadikan Lan Berambeh Sungkei lebih unik kerana kita dapat melihat pelbagai identiti budaya diraikan bersama,” kata pengunjung, Samsul Sailin, 45, ketika ditemui MalaysiaAktif.

Samsul Sailin mengenakan busana tradisional yang menyerlahkan keunikan program Lan Berambeh Sungkei di Sibu, semalam.

Suasana bertambah menarik apabila ribuan pengunjung mengenakan busana tradisional seperti baju Melayu, baju kurung dan pakaian etnik lain yang mempamerkan kepelbagaian budaya masyarakat Sarawak.

Lan Berambeh Sungkei bukan sekadar majlis berbuka puasa, malah menjadi simbol budaya ‘berambeh’ iaitu semangat berkumpul, berkongsi dan memperkukuh perpaduan masyarakat di Sarawak.

-RJ-

Tinggalkan komen anda