
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 8 Mac (MalaysiaAktif) – Peniaga kecil yang menyertai Fiesta Bazar Ramadan Sri Aman 2026 menzahirkan penghargaan atas sumbangan yang disampaikan Ahli Parlimen Batang Lupar Shafizan Kepli bagi membantu meringankan beban kos perniagaan sepanjang Ramadan.
Sumbangan tersebut disampaikan dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di hadapan Pejabat Tabung Haji Sri Aman kelmarin sebagai tanda sokongan terhadap kelestarian ekonomi komuniti peniaga tempatan.
Peniaga mi kolok, Baharudin Karim berkata bantuan itu memberi ruang kepada peniaga untuk lebih fokus terhadap perniagaan serta memastikan pelanggan menerima produk yang berkualiti.

Baharudin Karim (kiri) dan pengusaha kuih-muih Fridah Smail merakamkan gambar bersama Shafizan Kepli (tengah) selepas menerima bantuan bagi meringankan beban peniaga kecil di Fiesta Bazar Ramadan Sri Aman, semalam.
“Sokongan ini turut memberi motivasi kepada peniaga kecil untuk terus berusaha meningkatkan daya saing dalam pasaran tempatan,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Peniaga kuih-muih, Fridah Smail berkata program itu menunjukkan usaha menghargai peniaga kecil yang berusaha menjana pendapatan keluarga oleh Kerajaan MADANI.
“Peniaga juga berusaha mengekalkan kejujuran dalam urusan jual beli serta memastikan kebersihan gerai sentiasa terjaga bagi menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.
Shafizan dalam pada itu turut menegaskan komitmen untuk terus menyokong kebajikan peniaga kecil di kawasan Batang Lupar melalui pelbagai inisiatif pada masa akan datang.
Beliau turut mengingatkan peniaga agar mengekalkan kualiti makanan serta menawarkan harga berpatutan demi kesejahteraan pengguna serta kelangsungan ekonomi komuniti setempat.
-RJ





