Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

KPDN Perlis Gagalkan Cubaan Seludup Petrol di Sempadan Padang Besar

By 31 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini (Perlis)/KPDN Perlis 

PADANG BESAR, 31 Mac (MalaysiaAktif) – Cubaan tiga individu menyeludup minyak petrol di kawasan sempadan Padang Besar berjaya digagalkan dalam satu operasi bersepadu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perlis, baru-baru ini.

Antara kenderaan yang mengubah suai untuk aktiviti penyeludupan minyak.

Pengarah KPDN Negeri Perlis Rohaida Hassan berkata ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 30-an hingga 50-an ditahan hasil risikan selama seminggu oleh pasukan penguat kuasa.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak tiga buah motokar (kereta) yang diubah suai dengan tangki tambahan digunakan untuk menyimpan petrol bagi tujuan penyeludupan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut beliau dianggarkan sebanyak 220 liter petrol berjaya disita bersama nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM9,550.60 termasuk kenderaan yang digunakan.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tempat dalam kenderaan yang didapati diubah suai.

“KPDN Negeri Perlis memandang serius aktiviti penyelewengan barang kawalan dan akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi memastikan bekalan mencukupi untuk kegunaan rakyat,” tegasnya.

Beliau turut menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melalui saluran rasmi yang disediakan bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan tersebut.

Tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan ketirisan barang kawalan dapat dibendung serta melindungi hak pengguna di negara ini.

-RI

Tinggalkan komen anda