
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 31 Mac (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Johor memandang serius isu hantaran di media sosial yang tular baru-baru ini yang mengandungi unsur hasutan, fitnah serta ajaran mengelirukan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan kestabilan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata hantaran berkenaan turut mengandungi unsur penghinaan serta dakwaan tidak berasas terhadap Institusi Diraja Johor, pihak berkuasa dan agama Islam.
Menurut beliau, susulan perkara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan dan sedang mengambil tindakan lanjut bagi menangani isu berkenaan.
“Selain itu, satu pertemuan telah diadakan antara pihak PDRM dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bagi tujuan penyelarasan tindakan serta penelitian dari sudut akidah dan syariah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan atau mempercayai sebarang kandungan yang belum disahkan kesahihannya, sebaliknya merujuk kepada pihak berautoriti dalam hal berkaitan agama Islam.
Dalam pada itu, kerajaan negeri menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyebaran ajaran yang boleh menyelewengkan akidah umat Islam serta mengganggu ketenteraman awam.
-RI





