
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)
PASIR MAS, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Program Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dilaksanakan bagi memperkasa komuniti melalui pelbagai inisiatif ekonomi serta projek sara hidup.

Zarina sedang menyampaikan ucapan.
Inisiatif tersebut melibatkan penyaluran peruntukan kepada KRT Progresif terpilih dengan syarat tertentu bagi memastikan pembangunan komuniti dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
Pengarah JPNIN Negeri Kelantan Zarina Zakaria berkata peruntukan itu bertujuan membantu meningkatkan ekonomi komuniti serta menjana pendapatan dalam kalangan ahli setempat.
“Apa yang penting dalam KRT Progresif ialah kualiti perkhidmatan dan keberkesanan program, bukan sekadar kuantiti pelaksanaan,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke KRT Kangkong di Pasir Mas yang berlangsung di Kabin KRT Kangkong berhampiran Sungai Kelantan, di sini kelmarin.

Sokongan komuniti amat penting dalam membantu meningkatkan ekonomi.
Beliau berkata bantuan asas kepada KRT akan terus diberikan termasuk pengukuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bagi memastikan keselamatan komuniti sentiasa terpelihara.
Sementara itu, Pengerusi KRT Kangkong Kamaruddin Abdul Razak berkata sokongan dan perhatian daripada pihak JPNIN amat penting dalam menjayakan projek komuniti termasuk projek pertanian dan pembangunan produk komuniti.
Terdahulu, Pengarah JPNIN Kelantan turut dibawa melawat Kabin KRT Progresif KRT Kangkong serta tapak projek prasarana di tepi Sungai Kelantan yang dicadangkan untuk pembangunan komuniti setempat.
-RI





