
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Prestasi jualan di 15 lokasi Bazar Ramadan Platform Selangor (PLATS) seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Agrobank mencatatkan kutipan luar biasa melebihi RM4.5 juta setakat ini.
Menurut Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor jumlah tersebut menunjukkan peningkatan drastik berbanding tahun lalu hasil penggunaan sistem transaksi digital kod respon pantas (QR) yang merekodkan data jualan.

Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor.
Katanya, faktor utama lonjakan ini disumbangkan oleh pertambahan bilangan lokasi bazar serta peningkatan kuasa beli rakyat yang mempunyai pendapatan boleh guna yang lebih tinggi tahun ini.
“Bazar Stadium Shah Alam muncul sebagai lokasi paling laris dengan kutipan RM700,000, diikuti oleh Bazar Taman Greenwood, Gombak yang berjaya meraih jualan sebanyak RM400,000.
“Lokasi ketiga tertinggi dalam senarai jualan terbaik ialah Bazar USJ 4, sekali gus menjadi antara penyumbang utama kepada keseluruhan nilai jualan kumulatif tersebut,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini kelmarin.
Beliau berkata pihaknya mengunjurkan jumlah jualan keseluruhan bakal melampaui RM8 juta menjelang akhir Ramadan iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding rekod jualan tahun lepas.
“Langkah digitalisasi ini membantu kerajaan negeri memahami indikator ekonomi rakyat serta mengenal pasti produk yang mendapat permintaan tinggi untuk dijadikan produk pelancongan masa depan,” katanya.
-RI





